Artikel dari Harian Metro, 19 November 2011 mengutarakan isu atau masalah yang tak berkesudahan ini, iaitu minuman untuk kuat atau berstamina yang dicampur dengan bahan kimia atau ubat terlarang.
Bahan-bahan terlarang yang biasa dicampurkan dalam produk-produk seperti ini adalah seperti sildenafil, homosildenafil, tadalafil dan verdabafil.
Bahan seperti sildenafil dan tadalafil hanya diluluskan penggunaannya untuk produk Viagra dan Cialis, itupun penggunaannya perlu mendapat kebenaran atau pengesahan daripada doktor bertauliah.
Bahan-bahan ini amatlah bahaya jika dimakan sewenang-wenangnya tanpa pengawasan. Ia boleh mengakibatkan kesan buruk termasuk kematian terutama kepada penghidap penyakit kencing manis, masalah jantung, darah tinggi dan lemak berlebihan dalam darah. Ia juga boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan lebih berwaspada terutama terhadap produk-produk yang dijual dengan harga dan dakwaan kemujaraban yang tak munasabah.
Dapatkan nasihat daripada doktor dan ahli farmasi bertauliah.