Walaupun sudah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ubat Lami, kapsul merah kuning masih lagi dicari dan digemari oleh sesetengah orang yang terdesak untuk menguruskan badan.
Ubat tradisional Lami ini dipercayai dibawa dari negara jiran Indonesia. Harga memang murah, dalam lingkungan RM20.00 sahaja. Sebab itu ramai yang gemarkannya kerana tidak berkemampuan atau tidak mahu berbelanja besar untuk membeli produk yang lebih tinggi harganya seperti Jus Mate 5, SD II, Rx Lite dan yang seumpama dengannya.
Sebab apa ubat tradisional Lami ini diharamkan? KKM telah menjalankan ujian ke atas Lami dan didapati ubat Lami ini mengandungi bahan larangan Sibutramine. Sibutramine adalah ubat kawalan yang hanya boleh diberi oleh doktor kepada pesakit obes yang mana ia perlu diawasi oleh doktor. Tidak boleh diambil sewenang-wenangnya kerana risiko kesan sampingan yang berbahaya. Buat pengetahuan anda di luar sana, Sibutramine ini pun telah diharamkan oleh KKM untuk penggunaan di mana-mana hospital, klinik atau farmasi di Malaysia. Bermakna, Sibutramine ini memang tidak boleh dijual oleh klinik atau farmasi berdaftar sekalipun.
Apakah kesan sampingan Sibutramine? Sibutramine boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok bagi mereka yang mempunyai sejarah masalah jantung. Tekanan darah, denyutan jantung serta nadi juga boleh naik, sebab itu perlukan pengawasan oleh pakar berkaitan.
Kesan-kesan lain yang direkodkan adalah loya dan muntah, mulut menjadi kering, masalah perut dan sembelit, sukar tidur, mengantuk, pening kepala, perubahan 'mood' dan kekeliruan dan macam-macam lagi.
Untuk maklumat lain produk Lami boleh klik sini.
Selain daripada itu, ubat Lami didapati tidak berdaftar dengan KKM. Produk tidak berdaftar mengundang risiko kesan mudarat yang tidak diketahui kerana tidak diuji oleh badan-badan bertanggungjawab di makmal.
Untuk mengetahui ciri-ciri produk berdaftar atau tidak boleh klik sini.
Jadilah pengguna yang bijak, pastikan produk berdaftar baru beli. Jangan lah mudah terpengaruh dengan iklan atau dengar cakap orang-orang yang tidak bertauliah. Rujuk lah kepada doktor atau ahli farmasi anda.




0 Comments:
Post a Comment